Soalan
Penyelewengan hukum-hukum Allah dilakukan orang-orang terdahulu seperti umat Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. dengan mengubah agama Allah. Apakah umat Nabi Muhammad s.a.w. juga berlaku seperti itu iaitu mengubah agama Allah melalui al-Quran yang diturunkan kepada mereka, dengan mengubah hukum-hakam-Nya? Bolehkah Dato' jelaskan sejauhmanakah ia berlaku dan apakah kesannya kepada akidah ummah. - Umar Farouk, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh
Jawapan
Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan, pindaan dan perubahan.
Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras dengan firman-Nya (mafhum): "...Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44)
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memeliharanya dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9)
Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan.
Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya daripada penyelewengan.
Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian.
Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu.
Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring.
Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari Sabtu.
Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan.
Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka hati mereka.
Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi.
Zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi.
Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan Yahudi.
Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan.
Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada beberapa puak.
Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan menyalahkan amalan puak yang lain.
Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, khasnya yang terkini.
Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan menjaga al-Quran itu dengan baik.
Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.
Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia diketengahkan.
Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan.
Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan.
Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri, merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman undang-undang ciptaan manusia.
Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum yang ditetapkan Allah.
Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut dengan hukum Allah.
Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia, didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.
Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan meminda ketetapan Allah.
Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum mereka, selain daripada hukum Allah.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Maidah, ayat 49)
Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran.
Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23), Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22 dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10).
Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan, khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan diselewengkan hukum tersebut.
Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka.
Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus.
Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): "...Oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya)." (Surah al-An'aam ayat 157)
Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan menempuh azab Allah. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment