Resipi Nasi Goreng Marjerin
Bahannya (untuk sajian dua orang):
4 cawan nasi sejuk
3 sudu besar marjerin Planta
1 kiub pati ayam Knorr - dihancurkan
4 ulas bawang putih - dicincang halus
3 ulas bawang merah - dihiris halus
1 cawan sayur campur sejuk beku - dicairkan semula
2 biji telur, dipukul dengan secubit garam dan lada sulah
2 sudu besar kicap cair atau 2 sudu teh kicap pekat dicairkan dengan 1 sudu besar air
3 tangkai daun bawang - dihiris halus
3 sudu besar bawang goreng untuk hiasan
*1 sudu besar sambal belacan
1 biji cili merah sederhana atau 2 biji cili padi - dihiris halus
* Untuk menghasilkan sambal belacan, tumbuk tiga biji cili merah dihiris, dengan satu sudu kecil belacan panggang dalam lesung sehingga sebati, kemudian campurkan tiga sudu kecil jus limau kasturi.
Cara memasak:
1. Panaskan dua sudu besar marjerin dalam kuali hingga cair. Masukkan bawang putih serta bawang merah dan goreng selama dua hingga tiga minit atau hingga lembut.
Masukkan sayur campur dan kiub pati, goreng selama dua hingga tiga minit. Keluarkan dan letak atas pinggan.
2. Panaskan kuali semula. Masukkan satu sudu besar Planta selebihnya dan tuangkan telur ke dalam kuali, kacau selama seminit. Kuatkan api dan tambah nasi, kicap cair atau kicap pekat yang dicairkan serta sayur campur tadi, goreng untuk dua hingga tiga minit lagi.
Tambah daun bawang dan kacau sehingga rata sebelum padamkan api. Hidangkan serta-merta.
3. Hiaskan dengan daun bawang tambahan, telur dadar dihiris dan bawang goreng atau ikan bilis goreng. Ia juga boleh dihidangkan dengan sambal belacan, cili merah atau cili padi dihiris dalam kicap cair.
Tambahan:
* Untuk nasi goreng pedas, tambahkan satu sudu besar sambal belacan, cili merah atau cili padi selepas memasukkan sayur campur ke dalam nasi.
Ramuan seperti udang, ayam, sosej atau tauhu boleh ditambah untuk menyedapkan masakan. Tambahkan bahan berkenaan sebelum memasukkan sayur campur tadi dan goreng selama dua hingga tiga minit.
* Masa persediaan: 15 minit
* Masa memasak: 15 minit
No comments:
Post a Comment