Bunga tanjung
Assalamualaikum,
Hari ini saya masukkan entry mengenai FloraFauna, sibuk di SIM bercerita fasal "tanam pokok atau tabur bunga pada kuburan", memang sesuai sangat saya highlight sikit lagi satu pokok yang banyak di tanam di negara kita. Pokok tanjung dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit kulit.
Pokok bunga tanjung
Bunga tanjung putih berseri,
Berak bertenggung, kencing berdiri…
Eh¦ eh¦ salah¦ salah¦
Bunga tanjung putih berseri,
Kembang jelita harum baunya;
Gagah sungguh pohonmu berdiri,
Tegap rimbun gagah perkasa.
Pokok tanjung berasal dari kepulauan Indo-China dan mempunyai taburan semula jadi di India, Sri Lanka, Myanmar, Thailand dan Malaysia. Nama saintifiknya Mimusops Elengi dan tergolong dalam keluarga sapotaceac, pokok tanjung merupakan tumbuhan liar yang tumbuh di tepi pantai, kawasan berbatu dan dalam hutn. Pokoknya boleh mencapai ketinggian sekitar 3 meter dan boleh menghasilkan batang atau kayu balak sepanjang 15 hingga 20 meter. Pokok tanjung menghasilkan banir yang sangat kecil atau besar sehingga 2 meter tinggi.
Daun pokok tanjung jenis ringkas, susunan bersilang-seli dan bahagian tepi daun beralun-alun dan bengkok ke atas. Daunnya licin dan berkilat. Bunganya pula ada jenis dwijantina. Bunganya berwarna putih dan bercampur kuning. Bunganya ini dihasilkan secara tunggal atau dalam jambak kecil.
Bunga tanjung yang berjambak
Buahnya jenis beri berbentuk bujur telur. Sebelum matang, buahnya berwarna hijau. Buah ini akan bertukar kepada warna oren dan merah setelah masak. Apabila matang, buahnya rasa manis dan mempunyai kandungan astringen. Astringen bertindak sebagai agen yang mengcutkan tisu dan protein pada kulit dan lendir. Bunga pokok tanjung mengandungi minyak mudah meruap manakala bijinya mengandungi minyak tidak meruap. Kulit pokoknya banyak mengandungi tanin dan sedikit alkaloid. Pokoknya pula mengandungi saponin.
Buah tanjung
Kuatkan gigi dan gusi
Bahagian kulit batang, daun dan bunga adalah bahagian yang banyak digunakan serta mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri. Kulit pokok tanjung dikatakan mempunyai pelbagai kegunaan. Jika direbus, kulit pokok ini boleh digunakan sebagai air pencuci mulut. Ia mampu menguatkan gigi dan gusi serta merawat sakit kerongkong. Bukan itu sahaja, ramuan ini juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah nafas berbau.
Jika kulit pokok tanjung dijadikan serbuk pula, ramuan ini boleh digosok atau diurut pada sendi yang sakit akibat reumatisme. Kulit pokok tanjung ini juga boleh dijadikan sebagai ubat pupuk bagi merawat masalah jerawat, gatal-gatal dan pelbagai penyakit kulit. Kulit pokok tanjung yang direbus bersama dengan kulit pokok asam jawa dikatakan boleh digunakan sebagai ubat sapu bagi penyakit kulit. Air rebusan kulit batang pokok juga boleh digunakan untuk mencuci luka.
Air rebusan kulit pokok atau bunga boleh diminum terutamanya untuk merawat demam panas dan cirit-birit. Kulit dan buah pokok tanjung yang belum masak boleh dijadikan losen untuk merawat ulser. Biji pokok tanjung yang telah ditumbuk lumat pula boleh ditelan bersama air untuk merawat cirit-birit.
Redakan sakit kepala
Daun pokok tanjung boleh ditumbuk lumat atau direbus sebelum dijadikan sebagai ubat pupuk untuk merawat sakit kepala. Jika anda mengalami masalah sakit hidung dijangkiti ulser, bolehlah menggunakan daun pokok tanjung yang telah ditumbuk serta dicampur dengan sedikit jintan hitam yang kemudiannya dijadikan ubat pupuk.
Daun pokok tanjung juga boleh dibakar dan asapnya kemudiannya dihidu untuk merawat ulser di hidung, asma dan pelbagai masalah hidung dan mulut. Pucuk daunnya boleh dibuat ulam bagi mengecutkan rahim dan mengetatkan peranakan wanita.
Bukan setakat untuk tujuan perubatan, pokok tanjung juga boleh digunakan untuk tujuan lain. Bunganya boleh direndam dalam minyak kelapa. Ramuan ini boleh dilumurkan ke rambut dan hasilnya mampu mewangikan rambut. Minyak biji pokok tanjung pula dikatakan boleh digunakan untuk memasak atau minyak pelita.
Ringkasan kegunaan :
1. Merawat ruam bernanah “ Beberapa kuntum bunga tanjung direbus bersama 2 sudu besar Jintan Hitam. Air rebusan diembun semalaman. Air ditapis dan dimandikan pesakit dengan air tersebut.
2. Merawat sakit gigi dan boleh menghilangkan nafas berbau. Kulit batang pokok direbus bersama air dan dibuat kumur selama empat hari
3. Merawat luka “ Air rebusan kulit batang pokok digunakan untuk mencuci luka.
4. Merawat ozena atau rhinitis “ Jus daun bunga tanjung dijadikan ubat titis hidung dua kali sehari dan dilakukan sehingga sembuh.
5. Mewangikan rambut “ Biasanya bunga tanjung direndam ke dalam minyak kelapa dan dilumur ke rambut.
6. Pucuk daunnya boleh dibuat ulam bagi mengecutkan rahim dan mengetatkan peranakan wanita
Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan dan kegunaan lain pokok tanjung, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari.
Sumber : MisteriAlam dan Bunga Tanjung
No comments:
Post a Comment